Sering kali kebelakangan ini, tetiba saya menjadi lebih terkenal dari dulu. Bukannya tidak pernah menikmati kehidupan 'glamour', maklumlah saya bekas pengacara televisyen untuk Selamat Pagi Malaysia.
Tetapi kali ini, 'glamour' itu tertumpu kepada bab pendermaan organ saya kepada seorang budak perempuan yang tidak saya kenali. Acapkali saya melihat orang terkejut, tergamam dan tercengang sebentar apabila diperkenalkan sebagai 'Hoong Ling yang pernah mendermakan hati kepada seseorang yang tidak dikenali'.
Pada mulanya memang rasa janggal apabila berdepan dengan reaksi begini tetapi lambat laun saya jadikan topik pengenalan itu sebagai kempen derma organ mini. Setiap kali diperkenalkan yang say telah menderma hati kepada orang lain, saya mulalah menjadi perisai peluru - bertalu-talu soalan ditujukan.
'Ha? Derma hati? Jadi takde hatilah sekarang!?' 'Wah penerima hati itu pasti orang yang kau sayang rapat kan?' 'Ye ke? Hati boleh diderma masa masih hidup?'
Teh tarik satu! Berbuih bukan teh tarik, berbuih mulut menceritakan pengalaman. Kalau berbuih teh tarik tu kena bayar RM1.30, yang berbuih mulut bercerita tu, bayarlah sikit. Tapi saya tidak pula meminta bayaran, malah saya memberi...... Satu borang derma organ setiap seorang.
Barulah nampak pelbagai reaksi lagi, banyaklah soalan yang bertalu-talu! Namun, jika salah seorang mengisi borang dan berjaya menjadi pengikrar menderma organ, saya sudah berjaya. Nilai itu bukan setakat RM1.30, tak terhingga nilai itu walaupun yang dikembalikan itu cuma sekeping borang derma organ yang telah diisi.
Sesi teh tarik saya kini banyak menjadi kempen mini pendermaan organ. Walaupun cara ini lambat tetapi lebih bermakna dan dapat memudahkan orang ramai mengisi dan mengembalikan borang ikrar derma organ demi menjadi seorang pengikrar.
Nak cuba membuihkan mulut saya, mudah je.... Teh tarik berbuih RM1.30 je.. :)
Sent from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment