Kehadiran saya sebagai jurulatih di Kem Bina Negara, Ulu Sepri menjadi satu penghormatan untuk diri saya. Tidak diduga saya dipilih menjadi jurulatih dalam Kem Personaliti Menjulang TNB atas jemputan Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri. Inilah julung-julung kali saya menyertai kursus yang disediakan untuk para eksekutif dan tenaga sokongan TNB.
Penglibatan saya dengan BTN bermula awal sejak dijemput sebagai ahli panel Bicara Siswa. Bicara Siswa merupakan satu rancangan TV mahasiswa, yang diudarakan melalui TV1 secara langsung dari Angkasapuri. Dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah BTN, Datuk Nordin Kardi, Bicara Siswa menjadi pentas perdebatan topik-topik yang menarik dan memperlihatkan pandangan mahasiswa dalam isu-isu negara yang dibincangkan. Saya cukup bangga diundang untuk memberikan pendapat saya sebanyak dua kali untuk mengupas topik "Demokrasi: ala Malaysia atau ala Amerika" dan "Pembahagian Sama Rasa atau Mengikut Kesesuaian".
Setiap kali menyertai program-program BTN, darah Bangsa Malaysia dalam diri saya mengalir deras. Bersama BTN sahajalah, isu-isu kenegaraan dibincangkan, sejarah negara diperkaya dan isu semasa diperkemaskinikan dalam diri saya. Barangkali perbincangan tentang negara sukar dibawa ke kedai kopi, apatah lagi bersama rakan-rakan dalam umur 20-an yang jarang menyentuh isu-isu sebegini. Kali ini kem dilaksanakan di Kem Bina Negara, Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan. Pagar biru yang menyambut kedatangan saya akhirnya membuka tirai yang mengunci alam semulajadi yang begitu luas dan saat itulah saya tinggalkan segala apa dalam minda saya. Satu jejak kaki sahaja di bumi seluas 64 ekar ini, hati saya sudah terpikat nan keindahan dan kehijauan kem ini.
Saya terus disajikan masakan kampung Negeri Sembilan. Rasa bersalah kalau makan banyak dan soal menjaga badan, segera saya ketepikan. Penyakit gastrik dan ulcer yang menjauhkan sambal pedas dan kari dari meja makan saya sekian lama, kini dilupakan sementara.
Keselesaan kem ini membuat saya terlupa sejenak saya sebenarnya jurulatih dalam kem ini. Menulis pantun, tiba-tiba ilham tercetus. Biar pantun ini menjadi penutup coretan saya hari ini.
Sunyi sepi menyelubungi malam,
Semut, serangga merayap pulang,
Ulu Sepri indah tergamam,
Menjulang personaliti TNB gemilang.
Pagi menyinsing jadi pengganti,
Kicau burung, merdu sentiasa,
Cabaran mesti terus dihadapi,
Bersama penggerak tenaga Malaysia.
No comments:
Post a Comment